Subhanallah! sungguhlah Allah itu yang maha berkuasa terhadap sesuatu. Aku lalui hari-hariku dengan menempuh suasana yang tidak terlintas di fikiranku. Aku bertemu dengan insan-insan yang berlainan setiap hari dan ku jadikan mereka kenalan teman senyum. Hidupku terasa luas dan lapang walau dada terasa sedikit sesak dengan kenyataan cintaku yang tidak bertemu titik jawaban. Ku didik hatiku dengan zikrullah bahawa tiada apa didunia ini yang akan kekal. Tiada apa yang menawarkan sebuah kepastian. Aku redha dengan ketentuan Allah yang maha sempurna ini.
Aku mengukur segala kejayaan yang ku kutip dan capai selama aku menjadi manusia selama 22 tahun ini dan aku temui hanya beberapa cebisan sahaja yang mampu aku banggakan dikemudian hari. Namun, aku tidak mahu tewas dek kelemahan ini. Aku mahu terus bangkit dan berlari mengejar pelangi harapan yang tidak jemu menghulur sebuah jawaban dari Ya Rabb.
Sekali lagi mata itu aku tenung. Hancur luluh mengenang bahawa pandangan itu tidak lagi menjadi milikku. Keindahan pandangannya adalah milik hakiki lelaki lain. Janji Allah adalah benar bahawa setiap manusia itu telah ditetapkan jodoh mereka. Dia bukan rezekiku. Dia bukan untukku. Aku mengerti kenyataan itu. Ku palu gendang semangat supaya ia bangun tegak berdiri keluar dari kelemahan ini. Aku adalah lelaki yang tidak takut kepada sebuah kekalahan kerana rahmat Rabb yang agung memayungi hatiku supaya aku tabah dan sabar menerima segala ini kerana belum pernah Allah mencipta segalanya untuk sia-sia. Pasti Dia ada jawaban yang belum tiba masanya untuk Dia menerangkan segala hikmah yang terselindung. Aku menadah tangan kelangit mengharap bantuan dan pertolongan Al-Mujib.
Sesungguhnya kehidupan ini punya sejuta alasan lain mengapa kita harus terus hidup walaupun dugaan persoalan hati ini menemui penghujung yang menyakitkan. Cinta adalah sebahagian kecil nikmat dunia yang harus direbut namun nikmat iman, nikmat sihat, nikmat waras, nikmat menjadi pandai, nikmat bijak, nikmat matang dan segala bentuk nikmat lain yang dikurnia oleh Ar-Rahim adalah perkara yang sering kita abai dari terus mensyukurinya. Alhamdulillah.
DisisiNya telah digarap dogengan cinta yang indah untuk setiap dari kita. Apabila masanya telah tiba, para malaikat akan bersyair mengalun hikayat cinta yang telah tertulis untuk memberi kesempatan kepada manusia sepertiku dan kamu merasa barang sedikit bagaimana indahnya kebahagiaan dicintai dan mencintai. Al-Muhaimin sentiasa memberi janjiNya kepaada mereka yang percaya akan sebuah takdir tanpa mengeluh dan berputus asa. Aku berdiri disudut ini berharap ianya akan tiba menjengahku di suatu saat nanti.
Subuh hari rabu kini mengetuk mimpiku sekali lagi. Aku bangun lalu berwudhuk langsung ku dirikan solat subuh walau sedikit fikiranku terlayang kepada persoalan dunia namun aku tenang tatkala salam dipalingkan ke kanan dan kiri. Semakin hari ketentuan Al-Wasiq telah mendidik aku menjadi lelaki yang lebih matang dalam mengemudi bahtera kehidupan ini. Walau seteguh apapun diriku ini, namun air mata ini mudah benar jatuh menyisip pipi. Aku yakin, ianya telah menjadi anganan setiap lelaki tatkala bangun di setiap pagi, merenung seketika wajah sang isteri yang ketiduran disebelah. Dengan kasih sayang, kalian menyentuh wajahnya yang indah lalu beriringan bangun mengerjakan solat tahajjud dan subuh bersama. Oh! Indahnya seandainya dibayangkan. Hanya kesabaran sahajalah menjadi tongkat dalam kujalani kehidupan ini. Doa yang tidak putus ku panjatkan kepada Ya-Rahman supaya dapat kusiram hatiku dengan kasih sayang terhadap insan yang bergelar isteri. Bukanku cari kekasih atau teman wanita untukku cukupi segala keperluan nafsu yang dahaga ini, namun aku mencari seorang isteri, teman yang mendampingiku walau apa jua keadaan diriku yang serba kekurangan ini.
Ya Wasiq, apakah Dikau sudi untuk menggantikan dihatiku ini dengan cinta yang lebih baik dari cinta yang telah hilang ini? Apakah Dikau mahu memberi sedikit ruang kepadaku untuk menghirup keindahan rahmah dan mawaddah cintaMu? Apakah Dikau sudi menghadiahkan aku dengan seorang teman hidup penguat semangatku? Aku disini setia menanti jawabanMu. Janganlah kau biarkan aku terus lemas dalam kesepian ini kerana pencinta yang agung tidak akan biarkan kekasihnya mencongak sendirian betapa seksanya menagih sebuah janji.
~ As-sobru mi nal iman ~
Sesungguhnya sabar itu adalah sebahagain dari cabang iman
1 comment:
apa yang saya cari, terima kasih
Post a Comment